Khamis, 24 November 2011

DASAR TEKNOLOGI HIJAU NASIONAL



DTHN merupakan dasar penting untuk meneruskan kepesatan pembangunan negara pada masa depan, di samping menjadi salah satu usaha untuk menggunakan teknologi yang lebih baik dan kurang berbahaya kepada persekitaran.
Galakan fizikal peruntukan kewangan untuk pembangunan dan penggunaan teknologi hijau yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa Belanjawan 2010 amat bertepatan pada masanya. Usaha ini secara langsung memanifestasikan keyakinan dan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan teknologi hijau sebagai penjana nilai tambah kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
Ketika ini, teknologi hijau memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju pembangunan negara. Oleh sebab itu, nama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, dirombak menjadi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Secara konsep, teknologi hijau ditakrifkan sebagai “pengaplikasian ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk tujuan praktikal dalam pelbagai bidang kehidupan tanpa mengakibatkan kepupusan sumber dan mencemarkan alam sekitar”.
Tonggak utama DTHN meliputi tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, kesungguhan kerajaan menggerakkan pembangunan dan penggunaan teknologi hijau tidak akan menghasilkan impak yang diharapkan tanpa bantuan dan kesedaran rakyat.
Antara usaha yang dilakukan untuk menyokong pembangunan teknologi hijau di Malaysia ialah dengan menyediakan persekitaran pembangunan teknologi hijau yang kondusif. Pembangunan industri teknologi hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan perlu sokongan dari aspek kewangan dan fizikal. Pada masa yang sama, usaha memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri teknologi hijau dan rantaian nilai termasuk industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri perlu dilakukan untuk memudahkan masyarakat menerima konsep dan objektif teknologi ini. Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap teknologi hijau yang membantu perkembangan pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan sangat penting.  
Selain itu, menubuhkan hab teknologi hijau yang strategik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai utama kepada industri utama merupakan strategi bijak yang perlu dilakukan supaya teknologi ini dapat diperluaskan pembangunannya.
Negara juga perlu menyediakan sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan teknologi hijau. Untuk mencapai hasrat ini, bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan teknologi hijau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan pasca ijazah perlu diperkasakan. Selain itu, program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih bagi memenuhi keperluan industri teknologi hijau. Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang teknologi hijau dan pengeksploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor teknologi hijau juga perlu diperbanyakkan.
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi Dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos teknologi hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan Dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC. Selain itu, keperluan teknologi hijau pada masa hadapan perlu difikirkan agar teknologi ini bukan hanya di mulut sahaja tetapi diaplikasikan.  Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan   atau institut penyelidikan yang baru untuk perkembangan Teknologi Hijau juga wajar dibentuk.
Promosi yang efektif dan kesedaran awam antara dua faktor utama lain yang mempengaruhi kejayaan pembangunan teknologi hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuklah promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk meningkatkan kesedaran awam dalam teknologi hijau. Selain itu, penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan teknologi hijau. Memupuk budaya menghayati teknologi hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif serta mengadakan Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi teknologi hijau supaya memudahkan masyarakat menerima pakai kelebihan teknologi ini.
Secara kesimpulannya dapat dirumuskan bahawa teknologi hijau merupakan satu pendekatan baru yang berpotensi diterokai Malaysia dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga. Dengan wujudnya dasar teknologi hijau nasional ini diharapkan Malaysia mampu mencapai status negara maju pada masa akan datang.

6 ulasan:

  1. Saudara Hilmi, pada pandangan saya, apa yang paling penting untuk mengimplimentasikan perkara ini adalah Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi Dan Pengkomersialan (RDIC) dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos teknologi hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan Dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC. Selain itu, keperluan teknologi hijau pada masa hadapan perlu difikirkan agar teknologi ini bukan hanya di mulut sahaja tetapi diaplikasikan

    BalasPadam
  2. Perlaksanaan teknologi hijau ini merupakan satu usaha yang penting bagi mengurangkan kadar pencemaran. Namun perkara ini tidak akan berjaya sekiranya mentaliti rakyat tidak diubah selaras dengan peningkatan teknologi kini. Masyarakat seharusnya bijak dalam memilih untuk menggunakan teknologi yang kurang membawa kepada pencemaran.

    MOHAMAD RIDZLAN BIN MOHD SIDEK
    A128230

    BalasPadam
  3. Teknologi hijau adalah suatu teknologi yang baru sert wajar diberi perhatian. Ini adalah kerana dunia sedang berhadapan dengan krisis penceramaran akibat daripada sisa elektronik yang serius. Justeru itu, penggunaan teknologi hijau ini akan sedikit sebanyak mengurangkan pencemaran alam.

    BalasPadam
  4. saya amat kagum dengan isu yang diutarakan oleh saudara hilmi. teknologi hijau perlu dipraktiskan dengan secepat mungkin kerana bumi kita sekarang berada dalam keadaan yang teruk.saya sangat bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oelh hilmi.

    mohd aliff bin abdul wahab
    A128371

    BalasPadam
  5. penggunaan teknologi hijau amat popular pada zaman kini kerana, teknologi hijau membantu penggunaan tenaga yang efisien selain dapat mengurangkan pencemaran di muka bumi ini. Syabas saudara, saudara matang dalam penulisan saudara dan berjaya membangkitkan isu ini.

    Omar Shaheran Bin Zainudin
    A128243

    BalasPadam
  6. assalamualaikum.
    saya tertarik dengan topik yang saudara ketengahkan ini.
    segala pengetahuan yang saudara kongsikan ini sedikit sebanyak memberikan ilmu yang berguna kepada saya.disamping itu,saya amat berharap agar teknologi ini diperluaskan di sekolah kawasan2 pedalaman bagi memantapkan lagi ilmu dikalangan pelajar2 sekolah di Malaysia ini.

    a129428
    hassan bin mustafa afifuddin
    atisan19.blogspot.com

    BalasPadam